Wednesday, 11 December 2013

SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH… .

.. demikian pepatah lama mengatakan yang membawa makna setiap ketika akan berlaku perubahan dan pertukaran sama ada pada sesaorang atau sesuatu yang melibatkan menjadi baik atau buruk. Sudah tentu dalam kehidupan, perubahan yang diharapkan adalah yang lebih baik daripada yang dahulu. Bagi mencapainya transformasi perlu dibuat dan memerlukan cetusan idea yang dapat difikirkan sebagai cabaran mencapai matlamat perubahan. 

Dalam perkembangan seni budaya di Malaysia, pengukuhan seni budaya tidak akan berlaku sekiranya faktor kepimpinan, kewangan dan kemudahan tempat tidak dibantu oleh kerajaan. Menyedari kepentingan seni budaya sebagai warisan negara yang mencerminkan budi dan daya bangsa Malaysia kerajaan melalui dasar ekonomi baru dan dasar kebudayaan kebangsaan telah mengambil langkah memperkasa seni budaya dengan menubuhkan sebuah kementerian yang bertanggung jawab terhadap hal-hal kebudayaan. 

Bersama dengan organisasi seni budaya di Malaysia sama ada swasta atau NGO’s sejak merdeka hingga kini sentiasa mengikut arus perubahan dan seringkali Kementerian Kebudayaan menjadi induk kepada perubahan tersebut. Beberapa fasa perubahan telah dialami oleh Kementerian kebudayaan sejak ditubuhkan secara bergabung dan berdiri sendiri kemudian bergabung lagi dengan kementerian lain terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai satu organisasi yang sentiasa peka dengan perubahan. 

Merujuk kepada beberapa peristiwa dan peranan Kementerian Kebudayaan tugasan ini menyentuh beberapa perubahan yang berlaku khususnya mengenai organisasi yang mengendalikan prasarana seni budaya yang membantu mempamirkan hasil seni budaya baik swasta atau NGO’s. 

PROSES PERTUKARAN BUDAYA KORPORAT 
 Setiap kali Kementerian Kebudayaan bertukar kepimpinan pekara pertama yang perlu dilakukan adalah menukar budaya korporat organisainya. Menukar budaya krporat tidak seperti pemindahan pembedahan jantung yang dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Ia adalah satu proses yang berterusan yang mengambil masa dan memerlukan pemantauan berterusan. Mengubah budaya korporat adalah mengenai mengubah ORGANISASI melalui pengaruh yang berterusan, dan membentuk kepercayaan, nilai-nilai, andaian dan corak tingkah laku ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang diingini. Ia adalah mengenai mengubah cara pemikiran orang melalui cara baru berfikir dan bekerja yang akan membolehkan organisasi menjadi lebih berkesan, cekap dan berdaya saing. Oleh itu, perubahan budaya korporat adalah tentang membuka minda dan memenangi hati rakyat kepada cara baru bekerja. Ia juga memperbaiki hubungan antara rakyat dan memberikan mereka makna dan kepuasan dalam kerja-kerja melalui rasa kepunyaan bersama dan satu set nilai-nilai bersama. 

PERUBAHAN KEMENTERIAN 
Pada 20 Mei 1987 sebuah kementerian baru diwujudkan setelah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dibubarkan menjadi Kementerian Belia dan Sukan. Bahagian Kebudayaan yang bersamanya dikeluarkan dan menyatu dengan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia yang dikeluarkan daripada Kementerian Perdaganan dan Perindustrian. Gabungan kedua bahagian ini disatukan dibawah satu Kementerian dengan nama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. 

ANJAKAN EKONOMI 
Pengwujudan kementerian ini oleh Perdana Menteri waktu itu Dr. Mahathir Mohd. adalah berkait rapat dengan pengukuhan ekonomi negara. Pada pemikiran Dr.Mahathir, Malaysia tidak boleh semata-mata bergantung kepada bahan-bahan mentah utama sahaja kerana harga pasaran di peringkat antarabangsa adalah tidak begitu stabil. Faktor kejatuhan harga pasaran saham dan juga masalah inflasi yang timbul perlu difikirkan bagaimana mengatasinya. Maka itu mempelbagai dan mengembangkan cara sumber pendapatan Negara memerlukan satu anjakan yang tidak berpaut pada cara konvensional. Satu cara ialah dengan menubuhkan Kementerian Pelancongan dan kebudayaan bagi mengukuhkan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia (TDC) yang ditubuhkan pada tahun 1972. 

PERUBAHAN NAMA (game changer) 
Namun kehadiran kementerian baru dengan menterinya yang baru tidak dapat diterima oleh golongan budayaan dan para seniman dengan sepenuh hati. Mereka berpendapat kementerian baru akan menghancurkan kebudayaan kerana disatukan dengan pelancungan. Kedudukan kebudayaan berada dalam bahaya kerana pemuliharaan nilai seni akan dihakis oleh orentasi pelancongan yang bersifat dagang. Mereka bimbang sekiranya kebudayaan menjadi alat menarik pelancong, kebudayaan bukan sahaja akan diubah suai tetapi akan terjual maruahnya. Mereka tidak mahu kerana hendak mendapat tukaran asing, kebudayaan dicemar dan hilang kesenian bangsa yang bernilai tinggi. 

Polimik dan sentemen dari rakyat membuatkan YB Menteri (Dato’Sabbaruddin Chik) yang bertanggung jawab pada ketika itu tidak senang duduk. Mencari pejabat yang sesuai untuk beroperasi tidak sesukar menangani sentemen masyarakat. Seminggu beliau beroperasi dari dalam kereta sebelum benar-benar Kementerian baru yang dipimpinnya mendapat tempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Aras 21, 34-36 PWTC, Menara Dato’Onn kemudiannya menjadi saksi bagaimana seorang menteri menimbangkan perasaan semua orang termasuk kakitangan jabatan-jabatan dibawah kementerian baru yang diterajuinya. Dari sudut keutamaan negara, pelancongan dan kebudayaan adalah dua bidang yang jelas tidak sama tetapi dari sudut peranan dan tanggungjawab ada persamaan. Kedua-duanya mempunyai sifat “complementary” dan “supplementary” bagi penggalakan kedua-dua bidang. Sehubungan dengan itu, YB Menteri bertekad memberi pandangan bahawa pelancongan dan kebudayaan itu adalah setara. Maka tidak salah jika kerajaan memenuhi tuntutan sentemen rakyat terhadap nama kementerian yang tidak disenangi kepada yang lebih digemari. Langkah drastik yang dimainkan oleh menteri ialah menukar nama kementerian baru yang dipimpinnya kepada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. 

 Pada Julai 1987 (dua bulan selepas ditubuhkan), setelah menteri membuat penjelasan ke kabinet, YAB Perdana Menteri bersetuju nama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ditukar menjadi Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Kebudayaan didahulukan sebagai tanda kedudukannya diutamakan dan disertai oleh pelancongan setara mengungguli makna kebudayaan itu sendiri iaitu “keseluruhan cara hidup” dengan kedua-dua bidang berperanan membina tamadun bangsa melalui kekuatan dan sumber sedia ada masing-masing dalam menjana ekonomi dan menggilap martabat negara. Sebagai langkah awal dan untuk memastikan tidak akan ada nada kekeruhan antara kebudayaan dan pelancongan, YB menteri sentiasa bersikap kompromi dan mengadakan persefahaman antara kedua bidang ketika menjalankan tanggungjawab sebagai menteri. Kenyataan beliau melalui majlis dialog mengenai kebudayaan di Kuala Selangor pada 16 Ogos 1987 menegaskan keperihatian beliau terhadap perkara ini.

 “Penggabungan di antara kebudayaan dan pelancongan dalam kementerian yang baru ini tidak akan menjejaskan kebudayaan. Bahkan adalah menjadi satu pententuan bahawa industri pelancongan negara ini semestinya berasaskan antara lainnya kepada unsur-unsur kebudayaan negara yang dapat membentuk keperibadian, kemanusian, kerohanian dan kesenian.” 

Beliau juga memberi nafas lega kepada pihak-pihak yang merasa gusar dan ragu terhadap tindakan menggabungkan kebudayaan kesenian dan pelancongan dalam satu kementerian apabila di majlis yang sama beliau memberi keyakinan berikut:

“Sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan saya akan terus memastikan bahawa perkembangan kebudayaan di negara ini akan mengikut ketetapan dan berlandaskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Melalui Kementerian yang baru ini kita akan bersama-sama berusaha meneruskan matlamat, strategi dan program yang telah dirancang dan kita juga tidak akan bertolak ansur mengenai Dasar Kebudayan Kebangsaan.” 

Jelas Dasar Kebudayaan Kebangsaan tetap menjadi tonggak perjuangan dan penggabungan adalah strategi terancang untuk mencapai matlamat cita-cita negara bangsa yang terbilang. Bernaung di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, pimpinan YB Menteri membuat penegasan semula mengenai Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan jawapan-jawapan mengenainya melalui pelbagai aktiviti bagi memberi kefahaman dan kesedaran rakyat yang menyeluruh di semua peringkat dan lapisan. Termasuk agensi-agensi kerajaan mahu pun swasta. Pentafsiran yang jelas terhadap pengisian kehendak-kehendak dasar dapat dilaksanakan berdasarkan tiga prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu pertama, Kebudayaan Kebangsaan hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini. Kedua, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur-unsur Kebudayaan Kebangsaan. Ketiga, Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan itu.

STRATEGI 
Berdasarkan tiga prinsip tersebut, YB Menteri bersetuju dengan strategi pembinaan kebudayaan yang baru hendaklah diterokai berasaskan aktiviti-aktiviti sebelum ini dan diantaranya ialah usaha-usaha menjadikan projek-projek tertentu secara “institutionalized” yang nantinya akan menjadi projek tahunan bagi tujuan tarikan pelancongan di dalam dan di luar negeri. Malahan setelah lebih memahami bahawa kebudayaan itu adalah cara hidup, dan kesenian itu adalah sebahagian kebudayaan yang menjadi acara kebudayaan, YB Menteri berpendapat adalah lebih baik kementerin memberi fokus khusus terhadap kesenian. Sekali lagi perkara ini dibincangkan di kabinet dan ketika berlaku penyusunan semula Kabinet perkataan kesenian dimasukkan sebagai sebahagian nama Kementerian iaitu Kementerian, Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Perancangan diatur dan untuk melaksanakan segala janji, YB Menteri sebagai menteri di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan mengatur strategi dengan melengkapkan jentera penggerak. Pada awal penubuhannya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dibahagikan kepada beberapa kompenen. 

INISIATIF DAN MOTIVASI DI BAHAGIAN KEBUDAYAAN 
Sesuai dengan janji yang dilafazkan oleh YB Menteri, bahawa tidak akan mengenepikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam apa jua gerak kerja Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Bahagian Kebudayaan kekal menjadi satu agensi yang meneruskan pembangunan kebudayaan dengan memegang peranan sebagai perangka dasar. Sudah tentu sebagai nadi kepada kementerian, bahagian ini bertanggungjawab merancang, menyelaras dan mengurus program kebudayaan dengan memegang kepada cita-cita Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Perkara yang pasti didukung ialah membina negara bangsa mengikut arus pembaharuan yang ternyata pantas dan penuh cabaran. Bagi menentukan pembangunan kebudayaan tidak tergugat dengan sebarang ancaman masa, Bahagian Kebudayaan meletakkan tiga perkara asas sebagai objektifnya iaitu mengukuhkan perpaduan negara melalui kebudayaan kebangsaan, memelihara, mengembang dan mengukuhkan kebudayaan kebangsaan kearah perwujudan keperibadian kebangsaan dan memperkaya serta meninggikan kualiti kehidupan kemanusian yang seimbang di antara pembangunan sosoi-ekonomi dan siasah dengan nilai-nilai murni. Bagi mencapai matlamat tersebut Bahagian Kebudayaan menjalankan aktiviti melalui cawangan-cawangannya dengan unit-unit yang dapat memberi fokus khusus dan terarah. Antaranya adalah perancangan pembinaan Panggung Negara dan Akademi Seni Kebangsaan. 

                    
                      TRANSFORMASI MELALUI PRASARANA KEBUDAYAAN. 


PANGGUNG NEGARA BERGELAR ISTANA BUDAYA 
MEMPAMIR TEKNOKRAT KREATIF DAN PROFESIONAL 

ISTANA BUDAYA


Hasrat untuk mengadakan sebuah Panggung Negara di Malaysia telah muncul sekitar tahun 1970an lagi. Namun tidak pernah menjadi kenyataan sehinggalah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan ditubuhkan l987, seolah-olah impian menjadi kenyataan. Orang yang bertanggungjawab menjadikan mimpi satu realiti adalah YB Menteri Dato’Sabbaruddin Chik (sekarang Tan Sri). Daya usaha YB Menteri telah memungkinkan Rancangan Malaysia ke enam memberi peruntukan membina Panggung Negara di samping kemudahan-kemudahan lain seperti Taman Seni Budaya negeri-negeri dan Panggung Eksperimen. 


Mengkaji skop projek ini dan atas saranan YAB Perdana Menteri supaya Panggung Negara yang hendak dibina hendaklah lebih besar dan setaraf dengan panggung-panggung negara di luar negara dengan cadangan kapisiti penonton 1,500 orang, cadangan menjadikan MATIC sebagai Panggung Negara bertukar arah. 

                                             
MATIC cadangan awan Panggung Negara
                                           
Menyedari Panggung Negara memerlukan kawasan yang luas dan strategik, Sabbaruddin telah berusaha mencari satu tapak baru bagi projek seluas 13.5 ekar di persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Temerloh/Jalan Beserah, Kuala Lumpur. Tanah milik kerajaan yang dicadangkan itu sedang diguna pakai oleh Yayasan Seni Berdaftar sebagai lokasi kegiatan kebudayaan. Sebenarnya ketika itu majlis pelancaran Yayasan Seni berdaftar telah pun dibuat. Walaupun pada peringkat awal Yayasan Seni Berdaftar tidak mahu berganjak tetapi hubungan baik YB Menteri dengan Pengerusi Yayasan Seni Berdaftar Toh Puan Mahani Daim memungkinkan segalanya. YB Menteri akhirnya berjaya mendapatkan lokasi tersebut sebagai tapak projek Panggung Negara yang dicitakan. 


 Peruntukan bertambah kepada lebih kurang 160 juta. Menurut YB Menteri, ketika menandatangani kontrak pakej III projek Panggung Negara pada 26 Mac l996, pembinaan Panggung Negara yang menggunakan teknologi canggih akan menjadi satu mercu tanda pembangunan kebudayaan dan kesenian negara. Komplek yang menampung kegiatan persembahan kesenian dan kebudayaan tempatan dan antarabangsa sekaligus akan menjadi tarikan pelancong terutama dari negara-negara jiran. Projek Panggung Negara adalah unik dan yang pertama kali dibina di negara ini hasil kerjasama perunding-perunding tempatan dan teater luar negara. Oleh itu masa yang diambil bagi merancang dan menentukan rekabentuk yang terperinci sebelum ditender mengambil masa yang agak lama disamping masalah kewangan yang agak terhad pada awal perancangan. Namun seperti dirancang Panggung Negara yang dimulakan pada akhir Rancangan Malaysia ke lima akhirnya siap dibina pada penghujung tahun l997. 

Panggung Negara yang berkelengkapan mekanisme pentas berteknologi canggih ini merupakan antara sepuluh yang terbaik di dunia serta setaraf dengan Royal Albert Hall di London. Ia dibangunkan dengan kos sebanyak RM210 juta, meliputi kawasan seluas 5.44 hektar dengan ukuran keluasan lantainya berjumlah 21,000 meter persegi. Panggung Negara mula dibina pada tahun 1995, selepas rekabentuk akhir yang diserahkan oleh arkitek Malaysia, Muhammad Kamar Yaakub, dipilih menerusi satu pertandingan. 

Inspirasi Muhammad Kamar dalam menghasilkan rekaan adalah bersandarkan kepada ekstetik yang dijelmakan sebagai 'wau bulan di udara'. 

Beliau kemudiannya menghasilkan rekaan bangunan utama dengan berkonsepkan gubahan sirih junjung yang sering digunakan di dalam istiadat perkahwinan Melayu dan upacara mengalu-alukan kedatangan tetamu kehormat. 

Bangunan ini berkonsepkan rumah Melayu yang mempunyai tiga bahagian iaitu serambi untuk lobi, rumah ibu untuk Auditorium, serta rumah dapur untuk pentas utama dan dewan latihan. Tangga untuk ke auditorium pula diinspirasikan daripada tangga tradisional Rumah Melayu Melaka Anjung orang kenamaan di kanan dan di kiri auditorium mengambil konsep jendela rumah Melayu yang besar dan luas. Laluan masuk utama di tingkat dua pula melambangkan pintu masuk utama ke Balairong Seri Istana Kesultanan Melayu di zaman silam. 

ISTANA BUDAYA
Pintu masuk Utama Lobi teater di tingkat tiga menyerupai rekabentuk rebana ubi, iaitu gendang tradisional Melayu.
PINTU MSUK UTAMA ISTANA BUDAYA
Lobi tingkat 3 Kemasan dalamannya menggunakan bahan-bahan tempatan seperti jubin marmar dari Langkawi,
LOBI TINGKAT 3
manakala pintu-pintu utamanya pula menggunakan kayu-kayu tropika bermutu tinggi, diukir tangan dengan bermotifkan bunga dan daun. Permaidaninya yang tebal dan gebu pula mempunyai corak yang diadaptasikan dari daun pohon beringin (iaitu daun yang bertindak sebagai pembuka cerita di dalam teater Wayang Kulit). Pintu masuk utama teater ini pula, melambangkan "Balairong Seri" bagi istana kesultanan melayu zaman silam. 

LOBI TINGKAT 2
SELASA PUALAM - LOBI PINTU UTAMA

 Auditorium yang dipanggil "Panggung Sari" mampu menempatkan 1,386 orang pada satu-satu masa, iaitu 775 orang (termasuk 98 kerusi di Pentas Orkestra) di Balai Sari Penghadapan yang terletak di tingkat satu, 308 orang di Balai Sari Utama tingkat dua dan 303 orang di Balai Sari Peninjau di tingkat tiga. Panggung Sari Panggung Negara kemudiannya dikenali sebagai Istana Budaya atau ringkasnya IB.
PANGGUNG SARI

Perasmian IB telah dilakukan oleh YAB Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohd pada tahun l998 dengan penuh adat istiadat dan acara seni persembahan. Di awal pembukaan IB yang diketuai oleh Pengarah IB waktu itu Tuan Haji Sufiat Mukri telah menyusun pelbagai program kesenian persembahan selama setahun. Antaranya pada tahun l999, IB mengemukakan teater “Keris Sang Puteri” arahan Rahim Razali sebagai teater pertama menguji teknologi canggih yang tersedia. 


AKADEMI SENI KEBANGSAAN (ASK)  MENJADI ASWARA 
MENGGALAS GENARASI MUDA MENJADI SENIMAN BERILMU

Perancangan membina Panggung Negara tidak bererti jika tidak disertakan dengan pengisian masa depan. Seperti yang diketahui apabila Panggung Negara beroperasi keperluan tenaga manusia mahir tentang teknologi seni dan seniman berwibawa sangat mendesak. Tenaga kerja ini bukan sahaja mesti mahir tetapi juga berilmu bagi mengisi keperluan aktiviti bertaraf cemerlang dan setanding di peringkat antarabangsa. Persediaan tenaga kerja adalah menghantar pegawai-pegawai sedia ada membuat latihan dan berkursus di luar Negara dan bentuk tenaga muda juga perlu dilatih. Sekali dengan kesedaran untuk menubuhkan pusat latihan seni yang formal setaraf dengan institusi pengajian tinggi lain telah menyaksikan kelahiran Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Bukan sahaja sebagai satu usaha menyediakan tenaga kerja untuk Panggung Negara tetapi juga untuk melahirkan seniman berkemahiran tinggi bagi keperluan industri seni persembahan negara seluruhnya. 

ASK dimulakan awal tahun l990an dengan taraf sebuah program Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Walau bagaimana pun berdasarkan kepentingan sumbangan program tersebut kepada pembangunan kesenian tanah air yang merangkai sama keperluan ilmu bantu seni persembahan di perolehi secara formal, program ini telah dinaikkan taraf. Satu Urusetia khusus dimana Puan Norliza Rofli (sekarang Dato’ dan menyandang Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara) merupakan Ketua Urusetia pertamanya dan Majlis Akademi Seni Kebangsaan dibentuk tahun 1993. Dua buah badan berkenaan telah membolehkan ASK memulakan sesi pengajian dengan pengambilan pelajar kumpulan pertamanya pada tahun 1994. 


Pejabat ASK 1994 Awal penubuhannya, ASK beroperasi di Komplek Budaya Negara Jalan Tun Ismail, sebumbung dengan Panggung Negara yang sama-sama menanti siap sebuah bangunan lengkap. Lokasi di Komplek Budaya Negara menjadikan pembelajaran di ASK lebih dekat dengan kerja sebenar para seniman.   Artis Kumpulan Budaya Negara yang mempamirkan pengalaman dan kemahiran seni persembahan melalui aktiviti anjuran Panggung Negara menjadi sahabat paling dekat kepada pelajar-pelajar ASK untuk memahami dan mendalami kerja seni dari proses latihan hingga ke pentas persembahan sebenar. Pemerhatian secara dekat dan sebahagian pelajar turut diajak terlibat sama oleh Panggung Negara dengan aktiviti mereka telah menyaksikan pelajar-pelajar ASK bukan sahaja mendapat pelajaran di bilik-bilik kuliah tetapi terus meraih pengalaman sebagai penggiat. Kemudahan yang dikongsi bersama antara ASK dan Panggung Negara merupakan perkongsian bijak dan satu pendedahan langsung pelajar kepada kerja-kerja professional. Hal ini menepati hasrat melihat genarasi muda atau lebih khusus penggiat seni bersedia dan menjadi professional dalam bidang seni persembahan bukan sahaja untuk mengisi keperluan Panggung Negara tetapi juga keperluan industri tempatan dan antarabangsa. 



     Panggung Eksperimen – Sebahagian komplek KBN 


Apabila peruntukan kampus sebenar ASK diperolehi dan Panggung Negara mendapat tapak lokasi di Jalan Tun Razak/Jalan Temerloh, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan mengubah perancangan dengan menjadikan tapak lokasi KBN sebagai tapak Kampus tetap ASK. Tapak KBN di bina semula untuk ASK



Sementara pembinaan siap operasi ASK berpindah ke kampus sementara Jalan Ampang bersebelahan MATIC menjadikan ASK sebuah kampus dalam kota yang bersaing dengan arus pembangunan yang sedang rancak menumbuh. 



Berkat sokongan pelbagai pihak dengan membenarkan pegawai-pegawai kebudayaan menjadi pentadbir sebuah institusi pendidikan seni dan kemudahan membawa tenaga pengajar yang memang dikenali lagi berpengalaman dalam bidang seni persembahan serta kesudian ahli akademik daripada Universiti tempatan dan luar negara memberi sumbangan sebagai tenaga pengajar, menjadikan ASK cepat dikenali. Jalinan kerjasama dengan semua Universiti tempatan turut memberi sumbangan padu bagi mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran di ASK. Lebih mengkagumkan lagi apabila ASK mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan pelajar dan pensyarah serta pegawai-pegawai pentadbir dijemput untuk menyertai pelbagai acara di luar negara. Dalam masa yang singkat ASK telah menunjukkan ketrampilan yang memberangsangkan. Kewibawaan ASK semakin menyerlah apabila menjadi institusi yang sering dikunjungi oleh beberapa institusi pengajian tinggi luar negara untuk mengadakan kerjasama dan penyelidikan. 


Keistimewaan ASK kerana menitikberakan pengajian seni tradisional sebagai teras pengajian dengan menggunakan tenaga pakar dalam bidang tersebut. ASK telah memperkenalkan sistem Adiguru iaitu pensyarah pakar yang terdiri daripada tokoh-tokoh seni berpengalaman dan tersohor. Allahyarham Seniman Negara Hamzah Awang Amat (Wayang Kulit), Allahyarhamah Khadijah Awang (Mak Yong) dan Rahman B (Bangsawan) adalah antara pakar persembahan tradisional yang menjadi Adiguru di ASK.


Primadona Mak yong Kahdijah Awang sebagai Adiguru
Kesenian moden serta kontemporari ditawarkan seperti lazimnya diamalkan di Universiti lain tetapi berbeza dari dari sudut pendekatan pembelajaan. ASK menetapkan pembelajaran secara teori 40% dan praktikal 60% sebagai satu cara melahiran graduan berkemahiran dan boleh terus berkerjaya. Kelebihan pengajian di ASK memperlihatkan pelajar-pelajar dapat menjalani latihan secara bersemuka secara seorang guru seorang murid dan mendapat latihan amali di perusahaan atau industri mahu pun badan-badan yang menganjurkan aktiviti seni persembahan. Pendedahan terus dengan agensi-agensi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan seperti KBN, MATIC, Panggung Eksperimen dan Taman Budaya Negeri-negeri telah menambah displin bantu pelajar-pelajar ASK mendapatkan ilmu. Ternyata dalam tempoh empat tahun ASK telah berjaya melahirkan graduan pertama yang mempunyai ketrampilan dengan displin ilmu yang memenuhi tuntutan pasaran. Pada 14 Ogos l998, Dato’ Sabbaruddin Chik menjadi menteri pertama yang menganugerahkan diploma kepada graduan pertama ASK. Konvokesyen Pertama ASK Konvokesyen Pertama Akademi Seni Kebangsaan berlangsung di Dewan Tuanku Abdul Rahman dengan penuh sejarah. Graduan memperolehi diploma dalam empat bidang pengkhususan iaitu Diploma Penulisan Kreatif, Diploma Muzik, Diploma Tari dan Diploma Teater. 
 
 
 
Dalam ucapan perasmian konvokesyen pertama ASK Dato’Sababruddin Cik mengatakan:- 
“Saya kira kejayaan yang dinikmati oleh para graduan pada hari ini merupakan kejayaan kepada seluruh tenaga yang menjayakan perjalanan Akademi Seni Kebangsaan sejak sesi akadeniknya yang dimulakan pada tahun l994 Sewajarnya juga merupakan kejayaan kepada seluruh pejuang-pejuang seni, karyawan dan budayawan yang telah menyarankan sejak awal merdeka lagi agar sebuah akademi mengenai kesenian ditubuhkan. Perkara yang sama juga telah menjadi salah satu resolusi utama semasa Kongres Kebudayaan Kebangsaan diadakan pada tahun l971. Jika kita merujuk kepada pembangunan negara sekarang ini, ianya hanya berjaya dengan konsesus nasional. Ini tidak bermakna bahawa keadaan ini akan tercapai secara otomatis kerana ianya memerlukan perancangan program yang rapi. Sudah tentu pula memerlukan penglibatan sumber yang besar sama ada dari aspek kewangan mahupun tenaga manusia”. 
 
Konvokesyen pertama ASK adalah perintis kepada kejayaan ASK seterusnya. Penampilan graduan pertama dengan karya-karya kesenian bermutu mendapat pengiktirafan banyak pihak. Graduan-graduan ASK telah membuktikan seni persembahan boleh mendatangkan pendapatan apabila tidak ada yang menganggur. Mereka terlibat dengan industri kesenian sebagai artis teater, filem dan tv, jurulatih, guru, pentadbir budaya, pengurus, penulis, pemuzik dan yang lain-lain yang berkaitan dengan kesenian. Tidak kurang yang menubuhkan syarikat penerbitan dan produksi yang berorentasikan seni budaya. Kredibiliti graduan ASK telah menyedarkan masyarakat pentingnya pembelajaran seni secara formal. Ini terbukti apabila permohonan masuk ke ASK semakin bertambah setiap tahun walaupun beberapa kali berpindah lokasi. 
 
 Setelah ASK berpindah daripada Jalan Ampang ke Empire Tower di Jalan Tun Razak, tahun 2003 ASK kembali ditempat asal mulanya dengan persekitaran kampus tetap yang siap terbina. ASK kemudian bertukar sebagai ASWARA bermaksud Akademi Seni Budaya dan Warisan, ikutan pertukaran nama Kementerian menjadi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta dapat menaik taraf pengajian daripada diploma ke ijazah. Rektor pertama ASWARA ialah Encik Omar Awang yang dilantik oleh menteri melalui Akta ASWARA yang telah diluluskan oleh kerajaan pada Ogos 2006. Bangunan Akademik ASWARA Jalan Tun Ismail 
 
 
 
TERUS BERUBAH 
 
Tahun 2013, ASWARA sekali lagi mengalami perubahan kepimpinan dan kembali bersatu di bawah Kementerian Pelancongan dengan nama baru Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Tidak ada bantahan terhadap kementerian baru ini. Masyarakat mulai faham bahawa kebudayaan itu adalah satu cara hidup dan pelancongan sudah menjadi satu sumber ekonomi untuk kehidupan. Bantahan bukan penyelesaian tetapi tindakan memahami keperluan lebih utama. 
  
 
PENUTUP 
 
Walaupun apa pun perubahan Kementerian, ASWARA dan IB tetap terus mempergiatkan bidang kesenian melalui pendidikan dan seni persembahan. Bersama pelancongan kini tumpuan “menjual negara” ke negara-negara maju diperluaskan. Usaha disertai dengan matlamat menjadikan Malaysia destinasi pelancongan pilihan bukan persinggahan kerana syurga membeli belah yang terunggul di rantau Asia tetapi juga kerana kesihatan dan pendidikan 
 
 
RUJUKAN 
1. Sectoral Analysis: Creative Industrry study & Report, Mukhriz Mudaris, Muazzim Produstions Sdn.Bhd. 
2. Gemilang Budaya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, 1996. 
3. Laporan Panel Anugerah Seni Negara, Kementerian Kesenian dan Pelancongan Malaysia, 1993. 
4. Panduan Program Kebudayaan 1988, B, Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan dan Pelani 1988. 5.Change Your Corprate Culture, Victor S.L.Tan, Times Book International Singapore, Kuala Lumpur, 2002. 
 
ROSMINAH MOHD.TAHIR 
PG 8 2013 1 0005 2000004347 
1 Disember 2013

No comments:

Post a Comment